Rabu, 31 Ogos 2011

kisah lebaran kali ini (episod 1)

selepas 10 tahun....aku kembali ke kampung beraya bersama keluarga. entah bagaimana perasaan sebenar terlukis. antara sebuah kehilangan, kerinduan, kehibaan.....aku pulang gagahkan diri mengintai ruang untuk bahagia.

ku lihat wajah ceria ayahanda tak dapat diselindung lagi. selama 10 tahun kembara ini aku membawa bingkisan rindu yg terbelenggu. kini, aku cuba leraikan dalam sendu yang terkunci. namun tak siapa mengerti hakikat pedihnya goresan hati.

seronoknya raya kali ni......bertemu kawan-kawan yg dah 26 tahun tak jumpa. Pian, Rav
dan Dalina. Esok nak ke rumah yang lain-lainnya. Sesungguhnya persahabatan amat berharga buatku. Sehari sebelum raya aku berkesempatan jumpa Raja, Nani dan abang Ramli yang datang mengambil order popia dan pes mee bandung.....gembira sangat.

pagi raya pertama......terasa sangat kehilangannya. kekosongan yg jauh terbuka diusik sayup takbir bergema. seharusnya pagi ini aku menziarahimu.....tapi, kekuatanku tidak cukup untuk melawan hiba yang disandarkan. sebab itulah aku pulang ke kampung mencari penawar yg mungkin tersembunyi di desa.

Hari raya yang pertama agak perlahan perjalanannya. Aku adalah taburan rindu yang tersangkut di ranting kehibaan. Letih menunggu cahaya suria. Kehadiran pian dan rav telah menggamatkan suasana dalam rumah orang tuaku.ketawa tanpa henti mengenang kisah di zaman persekolahan. Bertuahnya aku kerana memiliki persahabatan yang tulus.

raya kedua pula tiba......hari ini akan ku kunjungi sahabat handai yang lain pula. Tunggulah kehadiranku teman. Idros, Megat, Wan Nora, Dalina, Dalila, Amran dan Shukri aku kunjungi....terima kasih rav kerana memberi ruang ini. Malamnya, seisi keluarga buat sekian kalinya beraya ke rumah pakcik sani, kak yah dn cu na.... dalam keseronokkan ini aku di agah rindu pada kehadirannya. siapakah yg mampu mengerti. Dan esok lagi bererti.....Pertemuan bersejarah di sekolah rendah. Raya SKSI II buat pertama kali dalam sejarah....INDAHNYA RAYA KALI INI..

Selasa, 30 Ogos 2011

genyitan syawal

saat syawal hadir menjengah
Ramadhan sarat mengusung hiba
selangkah ku tinggalkan Ramadhan
di birai sendu
ku maju setapak menjengah Syawal
bersama sekuntum senyuman indah
di pagi lebaran ini

......sekawah rasa dihangatkan suasana
melenyap igauan hari kelmarin
menawar perit luka yang tercalar
bersambut tawa ceria setaman

berkata sang hati
cerianya Syawal yang tiba
menjalin ukhuwah yang terputus lama
takbir bergema sahut sahutan
memanjat syukur kebesaran Tuhan

tak dilupa pada kehilangan
cuma sekadar ku kunci di hati rapi
agar tak merobek semula kekuatan
aku berlari mengejar pelangi
tanpa menoleh jejak semalam
aku kini mawar berduri
mekar berseri di taman hati.........

Ahad, 28 Ogos 2011

GARIS SENYUM DI BIRAI SYAWAL

aku menyusuri beratus batu perjalanan merentas kesepian waktu yang bertamu. aku menitip rindu di kaki kembara yang terhenti pada sebuah kealpaan. ahhh....terasa lambat sekali masa berlalu. entah bagaimana emosi bermain.

dimula perjalanan ...airmata mengalir tanpa henti. ku singgah menziarahi pusara kekasihku sebelum pergi. tak dapat ku tahan deraian airmata yang bertamu. sepatutnya hari ini aku kembali bersamamu ke sini. tapi Allah lebih menyayangimu. maafkan aku kiranya aku tidak dapat menziarahimu di pagi Syawal ini. sesungguhnya aku tidak pasti apakah aku cukup kuat untuk melaluinya sendiri.

ku langkahkan kaki menuju destinasi yang pasti. ku labuhkan sendu kelmarin di tabir penghujung Ramadhan. terasa indahnya Syawal yang menggenyit padaku. aku berlari mendaki tawa yang hilang. kini gamitannya mengagah tawaku. aku bisa tersenyum menawan hiba. akan ku tongkah kesedihan ini ke tepi. memberi ruang keindahan Syawal meresapi hati yang hampir mati....

Isnin, 22 Ogos 2011

MENITI SYAWAL

Ramadhan terus berlalu. Syawal kian tiba menjengah pula. Setiap muslimin dan muslimat akan meraikan saat kemenangan.

Semalam aku membawa anak-anak berbelanja. Antara sayu dan hiba bercampur di celah keriuhan suasana. Aku terasa bagai kehilangan dalam satu ruang kosong dalam diri sendiri. Kekosongan di Ramadhan yang tak terisi an kekosongan di pagi Syawal nanti.

Rindu itu menjemput hiba. Aku terpaksa tinggalkan ia di sini.....bersauhkan kenangan berlayarkan harapan. Aku hanyalah pencinta yang setia . Karam dalam arus kasih sejati.

Kekasihku.....di pagi Syawal nanti, kau tiada lagi menyeri Syawalku. Tak mampu untukku langkahkan kaki ke pusaramu di pagi itu. Kekuatanku belum utuh. Aku masih merindu.....masih merasa cintamu. Aku terpaksa mengunci cintamu bersama memori indah lukisan semalam.

Aku terdampar mencari penaung hati. Syawal ini ku buka langkah sendiri, menghala ke satu destinasi yang telah lama sepi ku tinggalkan bersamamu. Desa yang kita tinggalkan 10 tahun yang lalu. Janji kita akan pulang bersama beraya bersama di sana. Sayangnya, ku susuri jejak itu tanpa dirimu lagi. Termengah aku mencari hentiannya. Di setiap hentian aku bertanya belumkah bermukim perjalanan ini? Airmata bagai tak mampu ku bendung bersama sepi yang digalas hati. Anak-anak bagai terasa pincangnya Syawal yang tiba.

Ku cuba menyapu lelehan airmata supaya tak ketahuan anakanda. Kuatkah jiwa bertahankan hiba di Syawal yang mulia?

Mencari Lailatul Qadar




Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.

Maksudnya:
" Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:

Maksudnya:
" Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta
mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada
dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:

Maksudnya:
" Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:
" Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan
dalam malam ganjil. "


Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah:

Maksudnya:
" Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar
iaitu malam ke-27. "
Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:

Maksudnya:
" Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam
yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati
malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:

Maksudnya:
" Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah
keampunan-Mu untukku. "




Petikan dari :
FIQH & Perundangan Islam Jilid II
Wahbah al-Zuhaili
Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rabu, 10 Ogos 2011

PENJARA HATI

hari demi hari berlalu aku merasakan begitu pantas masa berlari.....meninggalkan memori semalam dalam sendu yang berbaki. Termanggu aku kesendirian dalam wajah lesu tanpa make-up...pucatnya.

ahhhh....tersandar ke dada waktu, aku mengintai masa yang lalu di balik tabir rindu, aku mengusung sepi yang bertamu. Terasa kekosongan itu makin menghimpit diri. Sepi sekali hidup anak dagang di rantau orang berteman pilu.

terpandang aku pada bayangan di lopak air di lantai luar. Wajah tulus cinta sejati berombak ditiup angin. Menjemput rindu yang telah alpa. Aku tersandar kerinduan pada kurungan yang sempit. Berdindingkan keegoaan naluri wanitaku berlantaikan sepi kamus cintaku.....aku menghela nafas panjang dalam segar bayu pagi, ku hirup secangkir tawa melihat telatah si kecil mengagah manja.

ada rasa yang terselit di balik gelisah yang bertamu. Ada wajah yang mengintai di sebalik dinding keegoanku. Mengetuk pintu rasa yang terkunci.....aku dikejutkan salam dari kejauhan dalam mesej sebuah titipan kalimah .....mencari kuncinya.

Selasa, 9 Ogos 2011

Adakah berubah itu satu kemestian?

kita sering merasa terpinggir......samada berada di tempat kerja baru atau di persekitaran baru. Apatah lagi sekiranya kita berada dalam situasi yang serba tak kena dengan diri kita.

di manakah silap yang harus dipertikaikan? apakah kita perlu berubah menjadi orang lain supaya orang boleh menerima kita? tetapi berbaloikah perubahan kita itu kiranya sekadar mengharapkan penerimaan orang yang belum tentu keikhlasannya.

menjadi diri sendiri adalah pilihan yang terbaik dalam hidup. biarlah orang menerima kita seadanya dan yang paling penting menerima siapa kita sebenarnya tanpa kita perlu berubah mengikut kemahuan mereka. kita adalah diri kita dan punya kelebihan tersendiri yang mungkin kita tak sedari.

ada waktunya kita merasa terpukul, tertekan dengan penerimaan orang sekeliling kita. sikap berpuak-puak tetap ada di mana-mana. tetapi sebagai insan yang berpendidikan, tak kiralah setinggi mana atau serendah mana sekalipun....kita tak sepatutnya melihat ia sebagai satu perbandingan atau meletakkan diri kita sebagai yang terbaik.

andainya kita berubah dari identiti diri semata-mata untuk diterima orang lain maka rugilah penghidupan kita....terperangkaplah kita dalam diri sendiri selama kita membiarkan diri menjadi orang lain.

Ahad, 7 Ogos 2011

NOKHTAH RINDU






di kaki lembah kasih aku berdiri
bangga menjulang cinta sejati
berlumut kaki meredah becak tragedi
kemelut hati membalut sepi
sekawah rindu mengelegak rasa
membahang peritnya membakar jiwa

aku sendiri....termanggu di bibir kali
mencecah dinginnya sang bayu pagi
ku sirami kalbu sepi
menggigil kesejukan
berselimutkan perasaan
aku gagah meredah gelisah
di jurang perangkap resah
berpaut juraian

rindu dan airmata
kini ku tinggalkan
lewat hembusan bayu di subuh hari
ku titip salam perpisahan
pada luka dan kecewa
pada serpihan memori
yang bertaburan di lantai kasih
ku kutip satu persatu cebisan


ku jahit tepian cantuman
ku simpan dalam lipatan
lipatan sebuah syair
syair sang pencinta yang setia
ku nokhtah rindu di sini
agar beban terpikul dapat ku bebaskan
aku kembara menuju destinasi yang tak pasti
setelah nokhtah ini berhenti.....

Sahur



Nabi saw. bersabda, "Perbezaan antara puasa oang Islam dan puasa ahli kitab ialah makan sahur." (HR al-Tirmizi)

Nabi saw. bersabda, "Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma." (HR Ibnu Hibban & Baihaqi)

Nabi saw. bersabda, "Bersahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." (HR Ahmad)

*

Jumaat, 5 Ogos 2011

TINTA CINTA

Lentuk alunan gaya bahasa.....madah berhelah kiasan hati.

akulah sang penyair cinta yang sering melagukan melodi garapan bahasa paling halus. Setiap kalimah ayatku menyimpan seibu makna tersendiri yang tersimpul rapi ....menjadi tanda tanya tanpa jawapan pasti.

akulah pencinta yang setia, sesetia ombak pada pantainya....sesetia lagu pada iramanya. Mengalun puisi hati, mencuit jiwa yang rapuh. Tersenyum sang pemilik hati, terusik jua lipatan kasih. Ku gigit bahasa jiwa di tabir lafazku. berbuai irama cinta yang mendayu....melambai kegersangan pergi, berarak bersama mendung yang berlalu.

bertamu dan berputik di taman hati......akulah sang penyair yang setia pada khatimah cintanya.

Khamis, 4 Ogos 2011

AKU , RINDU DAN KAMPUNG

aku terbaca satu coretan blog seorang kawan baru dari kampung. Hahaha....sungguh seronok bila membaca loghat Perak ni. Walaupun aku tak mengamalkannya sejak kecil, al-maklumlah emak dan ayah bukanlah berasal dari sana! Cuma berkahwin dan menetap terus di sana. Bezanya aku adik-beradik semua dilahirkan dan dibesarkan di sana. Gitu gini teman orang Perak gak le.

Tetiba kerinduan itu datang. Satu rasa yang dah lama tak mengundang gelisah. Hmmmm.....aku kerinduan. Rindu pada tanah kelahiran, rindu pada rakan sekolah, rindu pada laksa kuala dan cendol di bulatan jam beso dulunya.....aku rindu berbasikal ke pekan. Oh....lamanya ku tinggalkan kenangan berpahatkan rindu. Tapi....kenapa ia hadir sekarang?

Apakah Ramadhan kali ini mengusik sepi dan rindu? Atau adakah sekadar melalukan salam dari kampung? Mungkinkah Syawal ini dapat ku tebus kerinduan yang hadir atau apakah aku sanggup menutup tabir rindu dari menjengah semula!

Rabu, 3 Ogos 2011

Kau Pergi Jua



Kau Pergi Jua

Wajahmu... seindah serinya pelangi yang indah
Seharum mawar putih segar berkembang
Wajahmu mengapa sering terbayang di mataku
Sehingga terbawa di dalam mimpiku

( 1 )
Sayangku
Tahukah kau di dalam hatiku ini
Tersimpan perasaan cinta yang suci
Kau bunga ingin kusunting mu menjadi milikku
Lantas kuabadikan dalam jiwaku

( 2 )
Sayangnya... harapan yang selama ini kubawa
Hancur berkecai musnah jua akhirnya
Semuanya bagaikan sebuah mimpi
Oh... Kau pergi jua
Setelah cintaku kini membara
Belum sempat kucurahkah kasihku
Kau pergi tak kembali

( ulang 1, 2, 1 )

Ingin kusunting mu menjadi milikku
Lantas kuabadikan dalam jiwaku

Selasa, 2 Ogos 2011

KITA DAN AMANAHNYA

kelmarin aku menghadiri majlis tahlil menyambut Ramadhan. Seperti kebiasaannya hadirin yang hadir terdiri dari penghuni blok, jemputan dari blok lain dan khariah surau. Tetapi yang paling ramai seperti di majlis-majlis lain adalah golongan kanak-kanak.

Kebiasaannya majlis keagamaan pasti tidak mendapat sambutan dari penduduk setempat di mana-mana juga jika nak dibandingkan dengan majlis sosial lain seperti pertandingan karaoke, pakaian beragam atau sukaneka.

Di manakah silapnya? Begitu banyak ruang-ruang kosong yang tak terisi sedangkan jumlah ahlinya lebih dari mencukupi untuk meraikannya. Apakah tidak timbul malu pada diri kita yang beragama Islam tatkala mata-mata bangsa lain memandang sinis pada kelemahan kita. Ketawa bukan main meriahnya, berkata bukan main bijaknya kita, tapi kenapa bila dalam soal ini kita seperti buta dan bisu.

Biasanya orang tua mewakilkan anak-anak bagi menggantikan mereka. Apakah tujuan penggantian bagi anak-anak yang masih berlari bermain tatkala usianya sedang meningkat? Aku kecewa melihat senario ini dipandang remeh. Sedang yasin sama-sama dibacakan, beberapa kumpulan anak-anak ini dari usia 1 tahun hingga ke 14 tahun membentuk beberapa kelompok. Suara gurau senda mereka ini jauh lebih meriah dari bacaan yasin yang sedang dialunkan.

Yang sedihnya tidak ada seorang pun dewasa yang hendak menegurnya. Apakah tidak terfikir di kotak hati kita apakah di saat kematian itu milik kita, sedang jasad kita masih belum disempurnakan, anak-anak kita hanya mampu ketawa tatkala orang lain membacakan yasin untuk kita atau mungkin saat itu akan ada kesalan dan tangisan kerana diri tidak mampu untuk membacanya.

Bagi yang dewasa pula, masih mampu berbual dicelah-celah bacaan itu. Apakah ertinya semua ini? Apakah ruang keinsafan telah tertimbus? Bagaimanakah kita dapat membentuk generasi hari ini sedangkan kita sendiri alpa akan kesilapan yang kita lakukan.

Kecewa sekali aku malam itu tatkala melihat permainan dunia. Majlis-ajlis agama amat sukar untuk mendapat tempat di kalangan kita tetapi jika majlis sosial atau politik tak perlu diundang pun maka berduyunlah yang memeriahkannya.

Ingatlah wahai sahabat semua tatkala mentari masih bersinar ia tidak menjanjikan sinarnya milik kita. Kerana esok mungkin masih ada tetapi kita belum tentu ada untuk esok. Janganlah hingga sampai ketika itu kita menangis kerana anak-anak yang kita tinggalkan bukanlah seperti yang sepatutnya kita jadikan ia. Semailah benih dengan sempurna supaya kita akan dapat menuai hasilnya di sana.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...