Selasa, 2 Ogos 2011

KITA DAN AMANAHNYA

kelmarin aku menghadiri majlis tahlil menyambut Ramadhan. Seperti kebiasaannya hadirin yang hadir terdiri dari penghuni blok, jemputan dari blok lain dan khariah surau. Tetapi yang paling ramai seperti di majlis-majlis lain adalah golongan kanak-kanak.

Kebiasaannya majlis keagamaan pasti tidak mendapat sambutan dari penduduk setempat di mana-mana juga jika nak dibandingkan dengan majlis sosial lain seperti pertandingan karaoke, pakaian beragam atau sukaneka.

Di manakah silapnya? Begitu banyak ruang-ruang kosong yang tak terisi sedangkan jumlah ahlinya lebih dari mencukupi untuk meraikannya. Apakah tidak timbul malu pada diri kita yang beragama Islam tatkala mata-mata bangsa lain memandang sinis pada kelemahan kita. Ketawa bukan main meriahnya, berkata bukan main bijaknya kita, tapi kenapa bila dalam soal ini kita seperti buta dan bisu.

Biasanya orang tua mewakilkan anak-anak bagi menggantikan mereka. Apakah tujuan penggantian bagi anak-anak yang masih berlari bermain tatkala usianya sedang meningkat? Aku kecewa melihat senario ini dipandang remeh. Sedang yasin sama-sama dibacakan, beberapa kumpulan anak-anak ini dari usia 1 tahun hingga ke 14 tahun membentuk beberapa kelompok. Suara gurau senda mereka ini jauh lebih meriah dari bacaan yasin yang sedang dialunkan.

Yang sedihnya tidak ada seorang pun dewasa yang hendak menegurnya. Apakah tidak terfikir di kotak hati kita apakah di saat kematian itu milik kita, sedang jasad kita masih belum disempurnakan, anak-anak kita hanya mampu ketawa tatkala orang lain membacakan yasin untuk kita atau mungkin saat itu akan ada kesalan dan tangisan kerana diri tidak mampu untuk membacanya.

Bagi yang dewasa pula, masih mampu berbual dicelah-celah bacaan itu. Apakah ertinya semua ini? Apakah ruang keinsafan telah tertimbus? Bagaimanakah kita dapat membentuk generasi hari ini sedangkan kita sendiri alpa akan kesilapan yang kita lakukan.

Kecewa sekali aku malam itu tatkala melihat permainan dunia. Majlis-ajlis agama amat sukar untuk mendapat tempat di kalangan kita tetapi jika majlis sosial atau politik tak perlu diundang pun maka berduyunlah yang memeriahkannya.

Ingatlah wahai sahabat semua tatkala mentari masih bersinar ia tidak menjanjikan sinarnya milik kita. Kerana esok mungkin masih ada tetapi kita belum tentu ada untuk esok. Janganlah hingga sampai ketika itu kita menangis kerana anak-anak yang kita tinggalkan bukanlah seperti yang sepatutnya kita jadikan ia. Semailah benih dengan sempurna supaya kita akan dapat menuai hasilnya di sana.

3 ulasan:

  1. salam tuan rumah..

    anak2 ke surau/masjid.. mak bapak duduk rumah ??? sepatutnya mak bapak yg bawak anak2 ke situ.. akhirnya, anak2 ambil kesempatan utk melepak kat mana2.. iskkk...

    BalasPadam
  2. ohhh.. blog baru ye.. saya follow sini sbg tanda sokongan.. teruskan menulis ye..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...