Ahad, 24 Julai 2011

TATKALA TAHRIM BERBUNYI

aku cuba melelapkan mata....setengah jam sebelum azan subuh berkumandang. Aku keletihan untuk seharian yang panjang. Dalam tak sedar aku menangis. Airmata berlinangan penuh syahdu. Terasa begitu dingin linangan yang membasahi pipi. Aku cuba mengesatnya tapi, dia lebih dulu mengusap pipiku.

"Janganlah menangis sayang. Abang pulang kerana abang tahu manja rindukan abang". Itulah ungkapannya .......sejak dia pergi aku belum pernah bermimpi tentangnya. Inilah kali pertama aku berbual mesra dalam tawa manja ku dibelai oleh seorang yang aku rindukan. Apakah mungkin selama ini aku tidak pernah cuba mengiakan kerinduan yang berkubu di hati? Atau mungkin kah kerana aku mula merasakan ketiadaanmu menjelang Ramadhan ini?

Aku begitu yakin aku berbual denganmu. Terasa kau begitu dekat di sisi. Tapi hakikatnya kau telah tiada lagi dalam diari hidup. Secara mutlak kau telah tiada. Yang tinggal hanyalah nama dan kenangan yang ku semadikan bersama rindu yang tak berpenghujung.

Telah lama aku cuba menyemadikan kerinduan pada nisan putihmu itu. Tapi, luka yang ku jahit dengan cinta sejati ini terburai di bibir rindu. Sesungguhnya kala ini aku amat merindukanmu. Biarpun pergimu telah aku relakan namun, sisa cinta itu tetap berbaki menjadi tunggul mati dalam diri yang mengurung sejuta rahsia dan menimbus segala lara.

Mungkinkah kerinduan ini hanyalah satu kiasan cinta yang hilang atau sekadar mengisi kekosongan yang kau tinggalkan......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...