Khamis, 14 Julai 2011

CATATAN SEORANG ANAK

.............Ain rindu ahli keluarga ain terutamanya, papa. Ain nak ada keluarga ain yang asal. Tapi, tidak sangka papa pergi meninggalkan kami sekeluarga. Kini kami tinggal hanya empat orang sahaja. Papa pergi sudah 5 bulan . Salam takziah untuk kami sekeluarga. Ain harap keluarga ain bertambah bahagia.................

Catatan ini ku baca lewat malam ini. Nukilan hati anakku berusia 10 tahun. Ya Allah Yang Maha Mengetahui.....apakah mampu naluri seorang ibu menahan kesedihan dan kesayuannya. Walaupun selama ini aku tak pernah lihat dia menangisi kehilangannya, tapi malam ini aku lihat ada kerinduan yang begitu mendalam di hatinya. Ya Allah, apakah ujian ini terlalu berat untuk kami? Aku tak berdaya melawan ketentuanMu. Tapi berilah aku kekuatan untuk menghadapinya dan jadikanlah anakku sekuat aku untuk melaluinya.

Di wajahnya selalu terpancar riangnya seorang kanak-kanak bermain dengan rakan sebaya. Tanpa memikirkan apa yang telah berlaku, apa yang sedang dilalui dan apa pula yang bakal menanti? Rupanya jauh di dasar hatinya ......ada kerinduan yang tak terucap. Ada kalimah yang tak dapat dikiaskan. Betapa ia kehilangan dan betapa kami merana kerananya.

Wahai Yang Maha Mendengar, kurniakanlah kami ketenangan dalam perjalanan yang sepi ini. Jadikanlah kami insanmu yang tabah dan bahagiakanlah kami biarpun sekelumit hidup tersisa. Penuhilah jiwa anak-anakku dengan iman dan kasih sayang. Berilah aku kekuatan memberi kasih seorang ibu dan kasih seorang bapa hingga ke akhir hayatku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...