Sabtu, 16 Julai 2011

CINTA DAN AIRMATA

Begitu banyak yang ingin kita perkatakan tentang cinta. Satu istilah yang luas penterjemahannya boleh dibuat. Ada yang boleh dihuraikan sebagai anugerah paling indah yang dikurniakan.


Cinta disebut dalam kisah suka atau duka. Satu perjalanan yang mengutip seribu satu kenangan paling berharga buat sang pencinta. Ada episod sedih dan episod gembira. Cinta adalah satu perasaan yang lahir dari hati yang bermula dari sayang yang mendalam.

Cinta pada Ilahi, cinta pada agama, cinta pada negara........tetapi paling popular cinta pada seorang insan yang paling istimewa. Ia seperti satu perasaan yang halus yang tak dapat ditelah oleh orang lain. Samada laluan perjalanannya adalah sukar atau pun tidak, ia bergantung kepada apa yang ada disekeliling kita. Apa jua boleh menggugat dan memberi kesan pada cinta itu.

Cinta boleh merubah seorang individu itu menjadi watak lain dalam dirinya. Menjadi seorang yang paling cemburu dan paling penyayang. Tetapi selalunya perasaan cemburu lebih membayangi diri kerana ada takut kehilangan. Tak kurang juga cinta itu merubah menjadikan diri lebih matang dan bertanggungjawab.

Seringkali cinta itu dikaitkan dengan airmata. Airmata adalah teman paling setia bagi seorang perempuan. Samada di saat sedihnya ataupun di saat sukanya. Di kala diri melalui likuan perjalanan bercinta yang sentiasa diuji, wanita sering menangisi cintanya tatkala hatinya dilukai. Tak kurang juga ada sang pria yang boleh menitiskan airmata kerana cinta.

Samada dilukai atau melukai ia adalah lumrah bercinta. Sejauh manakah ungkapan cinta itu buta itu ada kebenarannya? Tak kenal maka tak cinta ? Cinta adalah segala-galanya? Selagi kita meletakkan cinta paling tinggi dalam hidup kita, ia akan menjadi satu saat yang paling sukar bila ketikanya ia dikecewakan. Hati pasti dirobek dan bernanah dan ada yang tak mampu untuk mengharunginya. Cinta sentiasa memerlukan pengorbanan. Kadang-kadang ia menuntut kebahagiaan kita sendiri dikorbankan. Dan pada ketika itulah tasik airmata akan kekeringan dan hidup akan jadi kelam tanpa cahayanya. Bagi sang pencinta yang setia, tatkala cinta bersatu dengan jiwanya ia akan jadi terlalu payah untuk menerima kenyataan kegagalan.

Berbeza dengan kehilangan cinta yang bernisan. Airmata tak akan mampu mengalir selamanya. Jiwa yang di tinggalkan akan terus terluka dan parutnya tak akan hilang. Mampukah cinta jua menjadi penawarnya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...