Isnin, 25 Julai 2011

KALAM PENCINTA

entah kenapa sang pencinta ini tak mampu menarikan penanya......gersang terasa taman hati tanpa suara halus berbisik. Kemarau apakah yang sedang melanda tatkala cuaca tenang menyapa.

Jendela hati ku kuak terbuka. Mengintai masa menjinjit resah. Kemelut rasa itu bagai bersimpul tak terurai. Dinginnya malam menyapa pipi terasa damai seketika. Sepoi angin berbahasa menyata.......bicaralah bahasa cinta tatkala sepimu tiba. Berkiaslah tentang kasih tatkala kau merasainya. Jiwamu adalah melodi indah hamparan cinta yang agung. Tarilah mengikut irama hati tanpa kau garisi sempadan perasaannya.

Aku mula menyanyi tentang lagu cinta, sedang melodinya agak sumbang seketika. Tapi hati tersenyum indah tatkala cinta itu melafazkan rasa. Apakah tafsirannya sebuah pintu sudah terbuka hijabnya? Dalam senyum berbisik suara............berdendanglah sang pencinta kerana puitis lagumu telah berkumandang. Menarilah kerana rentakmu kini seimbang. Senyumlah wahai pencinta kerana di hatimu ada taman.

Berlagulah kehidupan kerana sang pencinta ini sudah kembali bernyawa. Nantikanlah wahai perindu kerana sang pencinta sedang mendekatimu......lihatlah pada indah matanya bila berkata .........lihatnya pada senyumnya bila ghairahnya terpancar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...