Sabtu, 23 Julai 2011

RENUNGAN TERAKHIR

Sepasang mata bundar itu sering ku lihat mencuri pandang pada setiap kelibatku yang hadir. Tanpa singgah bertamu menghulurkan salam, si kemeja putih bertali leher itu berlalu sekadar memberi sekilas pandang.

Saban hari warung tua di hujung jalan itu menjadi tempat kunjungannya yang setia. Entah apalah istimewanya makanan di situ sedang aku sendiri tak pernah mahu menyinggah menghilang haus. Si kumis tipis itu hari ini kelihatan tersenyum memandang ke arahku. Entah apa gerangan mimpinya malam tadi atau aku yang tersalah memandang? Ah....biarkanlah mungkin aku yang terperasan sendiri.

Sejak dari mula aku melewati warung di simpang jalan itu, dia sering ada di sana seolah menantikan seseorang. Tertanya juga hati kecilku mungkinkah dia menunggu isterinya atau teman wanitanya? namun tak pernah pula ku lihat dia bersama sesiapa. Si kumis tipis itu selalunya sendirian dalam kemeja putihnya bertali leher dan berkasut kulit.

Gayanya bukanlah dari desa. Entah kenapa hati ini bagai mendesak inginkan kepastian.
Hari itu ku bulatkan tekad dan singgah sebentar di warung misteri. Si kumis yang manis tak kelihatan di sana. Aku kecewa. Pulangku berbekal hati yang patah. Bagai ada rasa yang bertamu.

Sepasang mata sedang merenung menyoroti langkah longlaiku. Dalam aku terbuai dengan bayangan renungannya aku dikejutkan sapaan salam yang lembut. Mendongak mukaku ......mataku bertentang mata si kumis tipis. Terhenti sejenak degupan jantungku. Apakah tidak salah pandangan mataku? Dia si kumis timis ini adalah cinta pertamaku dulu? Apakah semua ini kebetulan atau suratan?

"Telah lama aku mencarimu dan telah lama aku menunggumu. Dan aku tak bisa lagi melepaskan kau pergi. Maafkanlah aku kerana meninggalkanmu dulu." Ungkapan tak berlengah dilontar kepadaku. Dalam hela nafasku aku tersenyum menyusun bicara.....
"Tenungilah mataku saat ini kerana aku berkata dari hati. Di saat kau melangkah pergi dahulu, telah kau robekkan hatiku dan luluhkan impianku. Puas ku gendung kesedihan tak bertepi hingga terbuang saat indah dalam hidup ini. Kau tatapilah wajahku sepuas-puasnya saat ini , kerana sesaat lagi kau akan kehilanganku buat selama-lamanya. Maafkan aku kerana tak bisa menerima. Kau si kumis tipis telah lama terpadam dalam kamus hidupku. Izinkahlah aku meneruskan hidupku tanpa kenangan lalu. Terima kasih Z kerana mencariku. Biarpun kemaafan telah aku beri aku tetap akan pergi. Selamat tinggal Z."

Aku berlalu tanpa menoleh ke belakang lagi. Segala yang bersimpul sekian lama telah terlerai kini. Aku mampu tersenyum menerimanya. Kerana akulah Mawar Desa yang sentiasa mekar di taman hati.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...