Rabu, 13 Julai 2011

SEMBANG ANAK BANGSA

Hari ini kita banyak memperkatakan soal semasa negara. Isu-isu politik sering mendapat perhatian ramai orang. Isu yang boleh mendatangkan cuaca panas yang mendadak.

Tapi kenapa bila isu remaja atau agama, kita jadi sepi. Apakah kita hanya menutup sebelah mata melihat masalah remaja masa kini? Ada ketikanya bukan sahaja remaja yang menimbulkan masalah semasa. Pelbagai peringkat umur memberi impak yang berbeza kepada persekitaran budaya kita.

Kita cuma dialihkan perhatian apabila sesuatu isu besar sedang hangat diperkatakan. Dan kita sering menumpukan isu moral atau hiburan jika ia melibatkan personaliti yang ternama. Cuba kita perhatikan sejenak, mayarakat kita begitu prihatin dengan bantuan kemanusiaan andai berlaku sesuatu malapetaka di dalam atau di luar negara. Tetapi kita sering terlepas pandang yang berada di depan mata kita .

Masih ramai yang keciciran dan memerlukan bimbingan dan bantuan. Generasi muda kini semakin ramai yang keciciran pendidikan. Alasannya bukan sekadar kemampuan keluarga membiayai kos persekolahan yang semakin meningkat tetapi disebabkan kuatnya pengaruh persekitaran termasuk pengaruh rakan sebaya yang mampu melawan didikan keluarga.

Mungkin tak semua dari kita beruntung dapat memberi pendidikan dan kemudahan yang terbaik buat anak-anak kita. Tapi apalah kiranya dapat kita mencari ilham seketika bagaimana mungkin kita meminimakan bilangan anak bangsa kita yang keciciran dan terjebak dalam arus pembangunan yang semakin pesat.

Hidup kita hari ini mungkin sempurna tetapi ingatlah kita juga mempunyai zuriat yang akan mewarisi bangsa dan memperjuangkan hidup di hari depan. Akar umbi inilah yang menentukan samada bangsa kita akan megah berdiri sebagai pemangkin negara atau rebah bersama jati diri yang tergadai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...